Jenama Ayam Bismi semakin dikenali umum khususnya di Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang sejak pengasasnya Tuan Haji Jaffri bin Ahmad menubuhka...
Jenama Ayam Bismi semakin dikenali umum khususnya di Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang sejak pengasasnya Tuan Haji Jaffri bin Ahmad menubuhkan perniagaan ini selama lebih 30 tahun yang lalu. Jaminan segar, halal, dan suci adalah antara batu loncatan membuatkan jenama ini dikenali ramai dalam tempoh yang singkat meskipun tumpuan menjual ayam hanya tertumpu kepada orang ramai sejak beberapa tahun yang lalu.
Titik tolak bermulanya perniagaan ini adalah ekoran daripada keadaan ekonomi yang tidak stabil pada ketika itu. Mujurlah sahabat Jaffri mengajaknya untuk berniaga ayam kerana pasaran ayam mendapat sambutan ketika itu.
Pada awal perniagaan, mereka terpaksa menyimpan 100 ekor ayam di dalam peti sejuk kerana setiap kedai yang dituju sudah memiliki pembekal ayam sendiri. Hal ini menyebabkan sahabat Jaffri berputus asa dan menarik diri daripada perniagaan itu. Selepas menarik diri, Jaffri terpaksa berusaha sendiri dengan berniaga ditapak yang lain. Kadang kala, Jaffri terpaksa berniaga di kaki lima tetapi diarah untuk berpindah ke tempat lain oleh pihak berkuasa tempatan. Namun, beliau tetap tidak berhenti untuk maju ke hadapan.
Selepas 10 tahun, Jaffri berjaya membina ladang ayam sendiri. Setiap usahawan pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran. Begitu juga Jaffri. Beliau diuji dengan pelanggan laris dari membayar hutang yang bernilai RM700,000. Namun, hal itu langsung tidak melunturkan semangatnya.
Berkat kesabaran dan usaha Jaffri kini berjaya memiliki sebuah kilang memproses ayam, lima buah cawangan Ayam Bismi yang terletak di Mergong, Gurun, Kangar, Sungai Petani Utara, dan Sungai Petani Selatan. Selain itu, beliau juga memiliki 15 ladang ternakan ayam. Beliau dibantu oleh isterinya, Puan Hajah Mazlina binti Kamarudin yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Bismi Empire.
Istimewanya, syarikat yang diberi nama Bismi Empire Sdn. Bhd. ini menawarkan RM3 untuk 600 hingga 700 gram ayam tetapi saiz yang lebih kecil atau tulang patah ketika diproses. Tawaran ini dilakukan kerana pernah suatu ketika dahulu ada seorang pakcik yang datang ke kedai dengan membawa RM3 sahaja. Situasi itu melahirkan rasa simpati dalam diri terhadap golongan kurang berkemampuan. Selain itu, Bismi Empire turut menjual ayam proses tanpa perut pada harga mampu milik iaitu RM7.49 sekilo.
Dalam proses penjagaan ayam, mereka mula menumpukan aspek penjagaan anak ayam seawal usia sehari di 15 ladang ternakan. Mereka dibantu oleh lebih 100 orang pekerja yang terlibat dalam bahagian teknikal, doktor, dan elektrikal. Kesemua pekerja memberikan komitmen yang baik dalam penjagaan anak ayam yang menetas sehingga cukup usia.
Syarikat ini mampu mengeluarkan 700,000 ayam setiap bulan di sebuah ladang tertutup dan 14 ladang terbuka demi memenuhi keperluan pelanggan. Jaffri menyasarkan pengeluaran ayam meningkat kepada 1 juta dan sembelihan sebanyak 15,000 setiap hari dalam tempoh terdekat ini.
Bercerita tentang pengiktirafan, Jaffri dan Mazlina diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Agrobank (3A) 2018 yang disampaikan oleh pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Anugerah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi mengiktiraf usahawan cemerlang dalam perniagaan.
Rujukan
https://kedahnewsdotcom.blogspot.com/2016/12/ayam-bismi-tawar-harga-kasih-sayang.html?m=1
https://m.facebook.com/permalink.php?story_fbid=152536351963061&id=133939160489447
https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/22/pembekal-ayam-ungguli-anugerah-agropreneur-agrobank-2018
No comments